Nama saya Abu. Umur saya 11 tahun. Saya anak sulung dari 5 beradik. Saya dan keluarga orang susah sebab ayah hanya bekerja kampung demi menjaga keluarga kerana ibu saya tidak sihat. Saya sudah lama tidak bersekolah kerana ayah tidak mampu menghantar saya ke sekolah.
Baru-baru ini, rumah saya dilanda banjir. Saya dan keluarga di arahkan pindah ke pusat penempatan sementara. Di pusat penempatan banjir itu, ada ramai orang. Saya dan adik-adik lain pada mulanya berasa takut kerana kami tidak biasa dengan orang ramai. Tapi lama-lama kami jadi seronok di sana.
Saya seronok sebab saya boleh makan makanan yang sedap-sedap di Pusat Penempatan itu. Setiap hari saya dan keluarga hanya makan nasi dan ikan masin dan kadang-kadang nasi putih sahaja, tetapi di Pusat Penempatan, saya dapat makan berbagai jenis lauk. Kadang-kadang kami juga di sajikan dengan biskut, mee goreng dan nasi lemak yang mana sudah lama kami sekeluarga idamkan.
Kami juga diberi selimut dan dapat tidur dalam keadaan selesa. Di rumah, jika hari hujan, kami terpaksa menahan kesejukan dan berkongsi selimut yang sudah koyak beramai-ramai sedangkan kami dibasahi hujan kerana atap rumah sudah lama bocor teruk.
Di sini, saya juga bertemu ramai kawan-kawan. Di rumah, tidak ada kawan-kawan yang sudi datang ke rumah untuk bermain kerana rumah kami buruk dan jauh dari rumah orang lain.
Saya sangat gembira di Pusat Penempatan ini kerana ramai orang memberikan bantuan kepada kami. Malangnya, masih ramai orang merungut dengan keadaan di Pusat Penempatan itu sedangkan kami sekeluarga sangat bersyukur diberikan kesempatan untuk menginap di situ walaupan hanya untuk sementara.
Hari ini, kami dikehendaki pulang kerana banjir sudah surut. Ayah merasa risau kalau-kalau rumah kami turut hanyut dibawa arus banjir. Jika ini berlaku, di mana kami hendak tinggal. Nasib kami baik kerana rumah kami tidak ada banyak barang. Ayah sempat membawa sekali keperluan persekolahan adik-adik yang lain. Saya dan ibu sempat membawa periuk dan barang dapur yang lain. Saya berasa sangat sedih. Moga-moga tahun depan, banjir datang lagi dan kami dapat makan makanan yang sedap-sedap lagi.

No comments:
Post a Comment